Search This Blog

Media Sosial: Gunakan Dengan Bijak

 Berikut ialah teks penuh khutbah Jumaat yang disediakan oleh Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Wilayah PersekutuanJabatan Agama Islam Wilayah berjudul ;

“MEDIA SOSIAL: GUNAKAN DENGAN BIJAK”
(Tarikh Dibaca : 21 Rejab 1442H / 5 Mac 2021M)

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala titah suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kehidupan kita dilimpahi keberkatan dan kerahmatan. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Media Sosial: Gunakan Dengan Bijak”. Marilah kita sama-sama memberikan tumpuan, matikan telefon bimbit dan hayatilah khutbah yang disampaikan.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, Islam adalah agama yang menyeru manusia agar hidup dalam suasana yang aman dan harmoni, tanpa perselisihan faham atau persengketaan. Dewasa ini, perbalahan sesama manusia seringkali berlaku akibat daripada pendustaan dan penularan maklumat yang tidak benar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Dalam hal ini, Islam menyuruh kita supaya menyelidik dan menyemak kesahihan atau kebenaran setiap berita yang diterima. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini; dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya); sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Imam Ibn Jarir rahimahullah dalam menafsirkan ayat ini mengatakan, “hendaklah kamu tabayyun dengan makna tangguhkan seketika maklumat atau berita yang sampai kepada kamu sehingga kamu ketahui dan yakin dengan kebenarannya. Jangan sekali-kali bersikap gelojoh untuk menerimanya.”

Demikianlah yang diajar oleh Islam supaya kita tidak bertindak dalam keadaan jahil dan terburu-buru. Dalam era kecanggihan media sosial hari ini, amat mudah bagi seseorang individu menyebarkan sesuatu maklumat kepada masyarakat. Lihatlah pelbagai teori dan spekulasi dicetuskan oleh sesetengah pihak dalam isu vaksin COVID-19 sehingga mencetuskan kegusaran masyarakat. Jika kita amati di media sosial, ramai dalam kalangan kita yang terpedaya malah secara tidak sengaja telah menjadi agen propaganda menyebarkan maklumat tidak sahih dan meragukan. Justeru, sebagai muslim yang bertanggungjawab, marilah kita pastikan segala maklumat yang disalurkan adalah tepat dan sahih.

Jauhilah sikap suka menjadi orang yang pertama dalam menyebarkan sebarang maklumat tanpa terlebih dahulu meneliti akan kebenarannya. Isu penyebaran ini dibimbangi ia adalah berita palsu yang boleh mendatangkan keresahan dan panik dalam kalangan masyarakat lebih-lebih lagi ketika negara kita masih lagi berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

Bermaksud: “Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun).”

Oleh itu, marilah kita gunakan nikmat akal kebijaksanaan dalam menilai dan memproses maklumat yang diperolehi sebelum ia disebarkan kepada orang lain terutama di media sosial. Janganlah kita menjadi seperti burung kakak tua yang hanya tahu mengulang kembali apa yang didengarinya tanpa mengetahui apa-apa berkaitannya.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah, Islam amat menitikberatkan soal memelihara hubungan persaudaraan. Justeru, sebagai seorang yang bertanggungjawab marilah kita menggunakan telefon pintar dan media sosial sebaik mungkin sebagai medium untuk membina dan merapatkan ukhwah di samping sentiasa menjaga aib dan maruah. Ingatlah, banyak kesan buruk yang timbul akibat sikap suka menularkan banyak perkara sehingga mencetuskan salah faham, fitnah, prasangka buruk dan budaya mengumpat dalam kalangan pengguna media sosial.

Di samping itu, janganlah kita mudah membuat sebarang komentar yang berbaur kecaman kepada orang lain kerana ia hanya mencerminkan keburukan akhlak diri sendiri. Sebagaimana kita beradab sopan dalam kehidupan yang nyata, begitulah juga yang mesti kita lakukan ketika bersosial di alam maya. Dalam pada itu, kita juga mestilah bijak menggunakan pelbagai aplikasi yang ada dalam dunia siber menepati hukum syarak dan mengikut peraturan atau undang-undang negara. Mengakhiri khutbah, marilah kita mengamalkan sikap tabayyun dalam menerima sesuatu berita supaya kita dapat menghindarkan diri daripada menjadi penyebab kepada penyebaran berita palsu yang jelas akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Hayatilah firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab, ayat 58:


 (doa-doa)

Rujukan :
e-Khutbah - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ( www.jawi.gov.my )


No comments: