Search This Blog

Tazkirah: Isteri Harus Mentaati Suami

Suami merupakan pemimpin dan ketua bagi sebuah keluarga, yang wajib dipatuhi dan berdosa besar jika isteri mengingkari dan menyalahi perintahnya itu.
Isteri wajib menunaikan hak suami ke atasnya iaitu wajib taat kepada suami dan melakukan segala perintah suaminya dengan syarat perintah tersebut tidak bertentangan dengan hukum syara'.

Perintah untuk mentaati suami sebagai pemimpin keluarga ada disebut di dalam al-Qur'an, dan juga dalam hadis Rasulullah Shallallahu 'alahi wasallam. Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:

"Jika aku boleh memerintahkan supaya seseorang sujud kepada orang lain, nescaya akan aku perintahkan seorang perempuan sujud kepada suaminya."

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dari hadis di atas, dapat difahami bahawa isteri mempunyai kewajipan dan tanggungjawab yang besar terhadap suaminya iaitu ketaatan dalam menjalankan hak-hak suaminya sehinggakan kalau dibenarkan sujud kepada manusia, nescaya kaum isterilah yang diperintahkan untuk sujud kepada para suaminya. Tetapi dalam Islam, sujud hanya dibolehkan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala sahaja dan tidak pada yang lainnya.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda mengenai dengan ganjaran bagi isteri yang mentaati suami dan menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya:

Maksudnya:

    "Apabila seorang perempuan telah mengerjakan sembahyang lima waktu, mengerjakan puasa pada bulan Ramadhan, memelihara kemaluannya, dan taat kepada suaminya, maka masuklah (ke dalam syurga) dari mana-mana pintu syurga yang dia kehendaki."

(Hadis riwayat ath-Thabarani)

Berdasarkan penjelasan di atas, maka jelaslah bahawa Islam memerintahkan seorang isteri itu untuk menunaikan hak-hak suami yang diwajibkan ke atasnya, antaranya mentaati suami. Isteri yang tidak taat pada suaminya bererti dia tidak menjaga hak suami dan perbuatannya itu boleh membawa kepada nusyuz.

Pengertian Nusyuz

Nusyuz bererti keluar dari ketaatan. Para ulama asy-Syafi'eyah mentakrifkan nusyuz seorang isteri ialah keluar dari (melakukan) ketaatan yang wajib terhadap suaminya.

Antara perkara-perkara yang menunjukkan ketidaktaatan kepada suami yang dianggap nusyuz itu ialah sebagaimana berikut:

i. Keluar dari rumah tanpa keizinan suaminya. Terkecuali daripada keadaan ini apabila isteri keluar berjumpa qadhi untuk menuntut hak, mencari nafkah apabila suami tidak berkemampuan memberi nafkah kepadanya, meminta fatwa atau hukum jika sekiranya suaminya bukan seorang faqih dan suami tidak memintakan fatwa untuknya.

Jika seorang isteri meminta izin untuk keluar menziarahi kedua ibu bapanya atau ingin melihat jenazah ibu atau bapanya atau anaknya (yang tidak tinggal bersamanya), maka suami berhak untuk tidak mengizinkan. Walau bagaimanapun dalam hal ini, adalah lebih utama jika suami mengizinkan isteri.

ii. Enggan mengikut suami berpindah ke negeri lain tanpa ada keuzuran yang dibenarkan syara' seperti isteri sakit atau perjalanan menuju ke negeri tersebut tidak aman atau suami
berpindah ke negeri yang ditimpa wabak atau tha'un.

iii. Tidak membukakan pintu untuk suami masuk ke rumah atau ke bilik dengan tujuan menegahnya daripada masuk ke dalam rumah atau bilik.

iv. Tidak menyerahkan diri pada suami (ketika suami berhajat kepadanya) tanpa ada keuzuran seperti sakit.

v. Tidak mengendahkan panggilan suami kerana sibuk dengan keperluannya.

vi. Isteri mendakwa suaminya telah menthalaqnya sedangkan dakwaan tersebut adalah palsu.

Hukum Nusyuz Dan Kesannya

Para fuqaha bersepakat mengatakan bahawa isteri yang nusyuz terhadap suaminya hukumnya adalah haram, bahkan dia dilaknat kerana nusyuznya itu kecuali jika dia bertaubat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:

    "Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu isteri menolak untuk pergi (kepada suaminya), malaikat melaknatnya (isteri) sehingga (masuk) waktu pagi."

No comments: