Search This Blog

Tazkirah: Membaca Al-Fatihah Untuk Si Mati


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد الله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

Membaca surah Al-Fatihah atau surah-surah yang lain seperti surah yasin kemudian menyedekahkan pahalanya kepada si mati dengan doa adalah perkara yang tidak bercanggah dengan syarak bahkan perkara tersebut merupakan amalan yang digalakkan di dalam Islam berdasarkan keterangan dan hujah berikut :

1. Al-Quran. Allah taala berfirman : ( وَافْعَلُوا الْخَيْرَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ) mafhumnya : " Dan kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat)." (surah al-hajj, ayat 77).
2. As-Sunnah. Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam Bersabda : ("من سن في الإسلام سنة حسنة فله أجرها وأجر من عمل بها بعده من غير أن ينقص أجورهم شىء،ومن سن في الإسلام سنة سيئة كان عليه وزرها ووزر من عمل بها من بعده من غير أن ينقص من أوزورهم شىء" (رواه مسلم)) Mafhumnya : "Barang siapa merintis (memulai) dalam agama Islam sunnah (perbuatan) yang baik maka baginya pahala dari perbuatan tersebut juga pahala dari orang yang melakukannya (mengikutinya) setelahnya tanpa berkurang sedikitpun pahala mereka, dan barang siapa merintis dalam Islam sunnah yang buruk maka baginya dosa dari perbuatan tersebut juga dosa dari orang yang melakukannya (mengikutinya) setelahnya tanpa berkurang dosa-dosa mereka sedikitpun" (H.R. Muslim).
3. Ijma'. ulama telah bersepakat bahawa doa yang disedekahkan kepada si mati memberi manfaat kepada mereka ; (أن أهل السنة أجمعوا على أن الأموات ينتفعون بدعاء الأحياء، وخالف في ذلك المعتزلة) Maknanya :  "sesungguhnya ulama' Ahlu Sunnah Wa al-Jamaah keseluruhannya telah bersepakat bahawa si mati sampai kepadanya dan dapat manfaat daripada doa yang dilakukan orang yang hidup, dan yang bercanggah dengan hal tersebut adalah golongan muktazilah."( al-Hafiz al-Faqih al-Ushuli al-Mutakallim al-Lughawi al-Hafiz al-Muhaddith asy-Syeikh al-Imam Abu 'Abdurrahman 'Abdullah ibn Muhammad ibn yusuf ibn 'Abdillah ibn Jami' al-Harari al-Habasyi -Semoga Allah merahmatinya- dalam kitab al-Mathalib al-Wafiah Syarhu al-'Aqidah an-Nasafiyyah, halaman 153-154, dan al-Hafiz As-Suyuti dalam kitabnya Syarh as-Shudur Bi Syarh hal al-Mawta Wa al-Qubur, halaman 311).
4. Amalan tersebut adalah bidaah yang elok dan tidak sesekali bercanggah dengan syarak. Perkara ini selaras dengan pendirian Imam Syafie : "Perkara yang baharu terbahagi kepada dua bahagian. Pertama sesuatu yang menyalahi al-Qur'an, as-Sunnah, Ijma' atau Atsar (apa yang dilakukan atau dikatakan sahabat tanpa ada di antara mereka yang mengingkari), inilah bid'ah yang sesat. Kedua adalah  perkara yang baharu yang baik dan tidak menyalahi al Qur'an, Sunnah, mahupun Ijma', ini adalah perkara \baharu yang tidak tercela (bid`ah hasanah)". (Diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dengan sanad yang sahih dalam kitabnya Manaqib asy-Syafi'i.)
5. Sampai pahala sedekah tersebut kepada si mati. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan di dalam kitab sahih keduanya daripada Aisyah .( إن رجلا قال للنبي صلى الله عليه وسلم إن أمي افتلتت نفسها وأظنها لو تكلمت تصدقت فهل لها أجر إن تصدقت عنها؟ قال نعم!) Ertinya : "sesungguhnya seorang lelaki berkata kepada nabi Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dengan tiba-tiba. Aku menyangka kalau dia boleh bercakap tentu dia akan bersedekah. Adakah baginya pahala jika aku sedekah bagi pihaknya? nabi menjawab ; ya!"
6. Imam al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab sahih mereka, at-Tirmizi, Abu Daud dalam sunannya dan an-Nasa'i meriwayatkan daripada ibn Abbas : (مر رسول الله على قبرين فقال : (( إنهما ليعذبان وما يعذبان في كبير إثم. أما أحدهما فكان مشي بالنميمة ، وأما الأخر فكان لا يستتر من البول )) ثم دعا بعسيب رطب فشقه اثنين فغرس على هذا واحدا وعلى هذا واحدا ثم قال ((لعله يخفف عنهما  ما لم ييبسا))) Maknanya : Rasulullah telah melalui dua kubur. Baginda bersabda : "sesungguhnya kedua-dua penghuni kubur ini sedang diazab. Bukanlah diazab kedua-duanya kerana perkara yang rumit untuk ditinggalkan. Salah seorang daripada mereka pernah melaga-lagakan orang lain (batu api) manakala seorang lagi tidak pula bersuci ketika kencing".  Kemudian Baginda menyuruh (ibn Abbas) mengambil pelepah tamar yang basah (yang masih hijau dan tidak kering) lalu baginda membelahnya kepada dua bahagian, baginda memacakkan setiap satu atas kubur. Kemudian baginda bersabda;"mudah-mudahan diringankan azab bagi mereka selagi kedua pelepah tamar itu tidak kering. Tersebut di dalam kitab riwayat ibn hibban yang Maknanya : " kami (para sahabat) bertanya : ya rasulullah adakah yang demikian itu memberi maanfaat bagi mereka nabi menjawab : ya! Ia ringankan azab bagi mereka, selama kedua-dua pelepah tamar itu tidak kering" . Al-hafidz an-Nawawi as-syafie berkata : "Para ulama' menghukumkan sunat membaca al-Quran di perkuburan berdasarkan hadith dua pelepah tamar tersebut. Mereka berkata : "apabila orang yang telah meninggal dunia mendapat manfaat daripada tasbih kedua-dua pelepah tamar itu ketika masih hijau, maka terlebih utama lagi orang yang telah meninggal dunia itu mendapat manfaat daripada bacaan al-quran di sisi kubur mereka. Ini adalah kerana bacaan al-quran itu daripada manusia itu terlebih besar dan lebih memberi manfaat berbanding dengan tasbih dahan kayu (yang basah). Sesungguhnya bacaan al-quran itu memberi manfaat bagi sesetengah orang yang ditimpa kemudharatan ketika masih hidup ( seperti terkena penyakit, pengsan, sengatan binatang berbisa dan lain-lainnya), begitulah juga orang yang telah meninggal dunia maka bacaan itu memberi manfaat kepada mereka sebagaimana orang yang masih hidup yang ditimpa kemudharatan tersebut. (Lihat Ithaf as-Sadah at-Muttaqiin karangan Imam Murtadha Zabidi ; penjelasan tentang ziarah kubur dan berdoa kepada si mati.)
7. Abu Qasim Saad Bin Ali Azzanjani mengeluarkan sebuah hadith di dalam kitab fawaidnya, daripada Abu Hurairah : (قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : من دخل المقابر ثم قرأ فاتحة الكتاب وقل هو الله أحد و ألهاكم التكاثر ثم قال اللهم إني قد جعلت ثواب ما قرأت من كلامك لأهل المقابر من المؤمنين والمؤمنات كانوا شفعاء له إلى الله تعالى) Mafhumnya : " Rasulullah Salla Allahu `Alaihi wa sallam bersabda : sesiapa yang memasuki tanah perkuburan, lalu dia membaca surah al-fatihah, Surah al-ikhlas, dan surah at-takathur, kemudian berdoa : ya Allah! Sesungguhnya aku jadikan pahala bacaanku daripada kalammu (al-Quran) untuk penghuni kubur yang terdiri daripada orang yang beriman lelaki dan perempuan, nescaya mereka (bacaan tersebut) menjadi syafaat atau penolong bagi mereka untuk mendapat keampunan Allah taala".(lihat al-Hafiz As-Suyuti dalam kitabnya Syarh as-Shudur Bi Syarh hal al-Mawta Wa al-Qubur, halaman 311-312).
8. Menurut Imam  al-Ghazali di dalam Ihya dan abdul Haq al-al-Azdiy dalam kitabnya al-`Aqibah bahawa Ahmad Bin Muhammad al-Marwazi berkata: aku telah mendengar Imam Ahmad Bin Hanbal berkata : (إذا دخلتم المقابر فاقرءوا بفاتحة الكتاب والمعوذتين وقل هو الله أحد واجعلوا ثواب ذلك لأهل المقابر فإنه يصل إليهم) maksudnya : "apabila kamu memasuki tanah perkuburan maka bacalah surah al-fatihah, surah an-nas, surah al-Falaq, dan surah al-ikhlas. Kamu jadikan (hadiahkan) pahala bacaan itu kepada ahli qubur, kerana sesungguhnya akan sampai pahala tersebut kepada mereka. (lihat al-Hafiz As-Suyuti dalam kitabnya Syarh as-Shudur Bi Syarh hal al-Mawta Wa al-Qubur, halaman 312, dan al-Hafiz al-Faqih al-Ushuli al-Mutakallim al-Lughawi al-Hafiz al-Muhaddith asy-Syeikh al-Imam Abu 'Abdurrahman 'Abdullah ibn Muhammad ibn yusuf ibn 'Abdillah ibn Jami' al-Harari al-Habasyi -Semoga Allah merahmatinya- dalam kitab al-Mathalib al-Wafiah Syarhu al-'Aqidah an-Nasafiyyah, halaman 158).

Justeru, amalan yang selama ini diamalkan oleh umat Islam apabila mereka mendengar ada sesebuah kematian lalu mengucapkan (إنا لله وإنا إليه راجعون) kemudian diekori dengan bacaan fatihah yang disedekahkan kepada si mati adalah amalan yang baik dan bertepatan dengan syarak.
Ia mempunyai sandarannya yang kuat.

والله أعلم وأحكم

No comments: