Artikel pilihan:
SATU ayat yang pasti dibaca setiap hari oleh semua Muslim yang solat ialah ayat kelima Surah al-Fatihah yang bermaksud "Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan".
Satu ayat ini sahaja sebenarnya telah menyentuh asas agama yang sangat penting dan mencakupi seluruh kehidupan manusia.
Jika diamati daripada awal Surah al-Fatihah, selepas beberapa pengiktirafan dan ucapan yang berunsurkan akidah serta pujian terhadap ALLAH Azza wa Jalla, yang mencipta, mengawal dan menilai segala gerak kerja kita di dunia untuk dibalas di akhirat, maka wajib pula untuk kita mematuhi segala ajaran-Nya, dalam erti kata beribadat kepada-Nya.
Maka dengan yakin dan tegas, kita berkata: "Iyyaka na'budu waiyyaka nasta'in" (Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan).
Hanya Engkau kami sembah
"Hanya Engkau (ALLAH) sahaja yang kami beribadat" bermaksud tidak syirik dengan perkara lain daripada jenis-jenis yang disembah, yang palsu di dunia ini. Sama ada perkara yang disembah berbentuk berhala mati daripada patung-patung dan sebagainya. Atau yang berbentuk berhala hidup yang terdiri daripada manusia pencipta agama, pembawa ideologi, pemimpin dan sebagainya yang berbentuk hawa nafsu.
Dari segi bahasa Arab, lafaz Iyyaka na'budu (Hanya Engkaulah yang kami sembah) tidak sama maksudnya dengan lafaz Na'budu iyyaka (Kami menyembah Engkau). Iaitu lafaz Iyyaka na'budu bermaksud kita hanya beribadah kepada ALLAH, tidak mungkin kepada yang lain. Adapun lafaz na'budu iyyaka walaupun mengandungi maksud kita menyembah ALLAH, tetapi masih lagi terbuka kemungkinan ada juga perkara lain yang disembah.
Didahulukan kalimah Iyyaka daripada kalimah na'budu dan nasta'in adalah menunjukkan adab seorang Muslim dengan ALLAH iaitu mendahulukan menyebut Tuhan yang disembah (ALLAH) daripada perbuatan manusia.
"Hanya Engkau kami sembah" merupakan suatu penegasan yang membatasi penentuan yang disembah iaitu ALLAH. Inilah yang menjadi perkara asas bagi manusia. Kerana manusia pada hakikatnya tetap merupakan seorang "penyembah" yang memerlukan kepada perkara yang disembah yang sebenar iaitu ALLAH. Sekiranya manusia tidak mendapati perkara sejati yang berhak disembah, maka dia tetap akan menyembah suatu benda yang palsu pula, kerana manusia diciptakan sebagai penyembah, bukannya yang disembah.
Inilah hakikat manusia. Firman ALLAH (maksudnya): "Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk mereka mengabdikan diri kepadaKu. (Surah Al-Zariyat: 56)
Inilah yang dinamakan Tauhid Uluhiyah atau Tauhid Ibadah. Iyyaka na'budu bermaksud hanya kepada-Mu sahajalah kami memperhambakan diri, dalam erti kata tunduk secara kasih mesra serta taat setia yang tidak berbelah bagi kepada semua ajaran dan perintah-Nya. Sama ada yang berbentuk arahan atau pun larangan. Oleh itu, maksud ibadah di sini bukan sekadar solat, puasa, zakat dan haji, bahkan mencakupi umum perlaksanaan segala arahan dan perintah ALLAH dalam kehidupan kita.
Hadis berikut menggambarkan cara hidup suatu kaum yang dinamakan sebagai ibadah:
Daripada Adi bin Hatim, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW membaca ayat (bermaksud): "Mereka itu (Yahudi & Nasrani) menjadikan ulama dan paderi mereka sebagai tuhan-tuhan selain daripada ALLAH".
Maka aku berkata kepada Rasulullah: Sesungguhnya kami tidaklah menyembah mereka (iaitu tidak beribadat kepada mereka). Rasulullah menjawab: Tidakkah mereka itu mengharamkan perkara yang dihalalkan ALLAH, maka kamu juga turut mengharamkannya (demi taat setia kepada undang-undang mereka). Dan mereka pula menghalalkan perkara yang diharamkan ALLAH, maka kamu juga turut menghalalkannya? Maka aku berkata: Ya, begitulah kami. Rasulullah menjawab: Itulah yang dinamakan ibadah kepada mereka. (Hadis riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, no.5093:hasan).
Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa perbuatan menerima dan tunduknya seseorang manusia kepada mana-mana hukum atau undang-undang atau ideologi rekaan manusia yang sifatnya bercanggah dengan ajaran ALLAH dan Rasulnya, adalah dianggap "ibadah" atau memperhambakan diri kepada orang atau kumpulan yang merangka undang-undang, hukum atau sesuatu ideologi tersebut.
Maksud "Hanya Engkau yang kami sembah" juga perlu difahami bahawa tidak sempurna pengakuan seorang hamba, kecuali jika ibadahnya memenuhi dua syarat utama iaitu: (1) Ikhlas dalam melakukan ibadah. (2) Ibadahnya bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW.
Justeru, elakkan diri daripada kategori berikut:
(1) Orang yang ikhlas dalam beribadat, tetapi ibadatnya tidak bertepatan dengan sunnah Rasulullah. Ibadat hanya sekadar tiru-tiru orang secara tradisi dan warisan turun temurun. Tidak berdasarkan sunnah. Oleh itu ibadah dicampuri dengan unsur-unsur bidaah dan khurafat.
(2) Orang yang ibadatnya menurut sunnah, tetapi tidak ikhlas kepada ALLAH. Beribadat hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia.
(3) Orang yang ibadatnya tidak ikhlas dan tidak juga menetapi sunnah. Tidak mempunyai ilmu. Melakukan ibadat hanya sekadar "pak turut" dan "mak turut", supaya dapat diterima oleh masyarakat sebagai seorang Muslim dan dapat bergaul dengan mereka.
Iyyaka Nasta'in
Apa pula yang boleh difahami dengan Iyyaka nasta'in (Hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan)? Beribadat kepada ALLAH merupakan tugas utama manusia. Tugas ini sukar tanpa bantuan daripada ALLAH. Tiada siapa yang lebih mengetahui hakikat seseorang manusia melainkan ALLAH.
Oleh itu, ALLAH datangkan ayat ini serangkap dengan ayat iyyaka na'budu. Bermaksud kita hanya memohon pertolongan daripada ALLAH, terutama dalam memastikan ibadat kita tepat dan diterima.
Iyyaka nasta'in juga menunjukkan bahawa semua jenis pertolongan hanyalah daripada ALLAH yang Maha Berkuasa.
Bermula daripada pertolongan yang berbentuk membetulkan amal ibadat hingga kepada pertolongan yang dapat menyempurnakan segala hajat dan menolak segala bala.
Ibn Abbas berkata: "Suatu hari aku berada di sisi Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda: "Wahai budak, sesungguhnya aku ingin mengajar kamu beberapa kalimat: jagalah benar-benar amanat ALLAH, ALLAH akan menjaga kamu. Jagalah benar-benar amanat ALLAH, kamu akan dapati pertolongan dan sokongan-Nya. Apabila kamu meminta sesuatu, maka mintalah kepada ALLAH. Jika kamu memohon pertolongan, maka pohonlah daripada ALLAH. Dan yakinlah bahawa jika seluruh umat berkumpul dan bersepakat untuk memberi manfaat kepada kamu, mereka tidak akan boleh memberi apa-apa manfaat, kecuali hanya apa yang telah ditulis (ditetapkan) ALLAH untuk kamu. Dan jika seluruh mereka itu berkumpul dan bersepakat untuk memudaratkan kamu, mereka tidak akan boleh memudaratkan kamu sedikit pun, kecuali apa yang telah ditulis (ditetapkan) ALLAH ke atas kamu. (Apa yang tertulis itu memang tidak tetap seperti sediakala, tidak berubah lagi, kerana) telah diangkat pena dan telah kering dakwat. (Riwayat al-Tirmizi, no 2635: hasan sahih)
Lafaz Iyyaka nasta'in datang selepas iyyaka na'budu menunjukkan bahawa yang berhak kita memohon pertolongan daripadanya adalah yang berhak kita beribadat kepadanya iaitu ALLAH.
Amat mendukacitakan apabila terdapat sebahagian umat Islam yang walaupun ibadatnya kepada ALLAH, tetapi mereka syirik kepada ALLAH dalam perkara memohon pertolongan. Mereka menaruh harapan sepenuhnya zahir dan batin kepada manusia atau jin.
Justeru, ulangi ayat ini saban hari. Hayati maknanya. Perteguhkan ia di dalam jiwa. Pasakkan di dalam diri. Benarlah... "Hanya Engkau yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan".
Sumber:
Artikel: Siapa yang engkau sembah? - 26 Ogos 2016 (Sinar Harian)
oleh,
Abd Razak Muthalib
Penulis ialah Perunding Latihan & Motivasi di Akademi Magnet
Sukses. Graduan Ijazah Sarjana, Kuliah Ilmu Wahyu, UIAM
No comments:
Post a Comment