Search This Blog

Tazkirah: Keikhlasan Derma

*Buat apa derma kalau tak ikhlas!*

Biasa kita dengar kata-kata ini.

Masa sekolah pun kita belajar, sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat.

Maknanya hanya  amalan yang ikhlas diterima oleh Allah. Sebaliknya amalan yang tidak ikhlas akan ditolak oleh Allah.

Dengan berbekalkan  maklumat itu maka kita pun menghukum orang yang kita rasakan tidak ikhlas dengan berbagai kata-kata, hukuman dan penghinaan.

Dipendekkan cerita, keikhlasan seseorang itu tidak dapat dilihat oleh manusia. Hanya Allah yang mengetahui samada seseorang itu ikhlas atau tidak.

Dari sudut menderma secara terang-terangan, Allah sendiri tidak melarang manusia melakukannya. Bahkan al-Quran memberi pilihan kepada manusia, samada mahu menderma secara terang-terangan atau secara tersembunyi.

Namun demikian ada juga perbuatan yang dilakukan oleh seseorang, pada pandangan kita, ia boleh ditafsirkan sebagai tidak ikhlas. 

Seperti tindakan meletakkan gambar penderma pada barang yang didermakan supaya orang tahu siapa yang menderma.

Namun demikian kita sepatutnya menegur perbuatan itu dan bukan menghukum keikhlasan penderma kerana ikhlas adalah dibawah pengetahuan Allah.

Begitu juga dengan aktivis yang membuat kerja amal dan menyiarkannya dalam media. Ia sungguh menunjukkan bahawa dia tidak ikhlas.

Untuk berlaku adil mari kita melihat bagaimana Rasulullah berhubung dengan keikhlasan seseorang.

Peristiwa sahabat bernama Usamah bin Zaid yang telah membunuh seorang musuh yang telah mengucap dua kalimah syahadah setelah kalah dalam peperangan. 

Apabila Baginda diberitahu keadaan itu Rasulullah saw memanggil Usamah dan Baginda bersabda: Apakah engkau membunuh orang yang telah mengucap syahadah. 

Usamah berkata:Sesungguhnya dia mengucap kerana takutkan pedangku.

Dengan marah Rasulullah saw berkata: Apakah engkau telah membelah dadanya sehingga engkau mengetahuinya. Maksud hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Jelas sekali persoalan ikhlas adalah milik Allah dan seseorang itu tidak berhak menghukum orang lain terhadap niat dan keikhlasannya. 

Oleh itu kritiklah pada perbuatan zahir yang tidak dipersetujui, sementara keikhlasan seseorang itu kita serahkan kepada ilmu Allah.

**Tadabbur Wahyu**
Ustaz Dr Rosli bin Mokhtar
31/03/2020