Search This Blog

Tazkirah: Dosa yang Kekal

MENGUMPAT: Dosa kekal dan tidak terampun sehinggalah diampunkan oleh orang yang telah kita umpati...

*Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain.*
Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.

Rasulullah menjelaskan mengenai mengumpat dalam sabdanya, bermaksud:

*"Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya"*
(Hadis Riwayat Muslim).

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan bangkai saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Ia hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpat.

*"'Selagi orang yang diumpat tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasan di akhirat"'*

Sabda Rasulullah:

*"Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum Muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaiban. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri"*
(H Abu Daud).

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Rasulullah mengingatkan bahawa : *"Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering".*
Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

*Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat besok seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya",*

*Maka Allah menjawab: "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".*

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat nanti.

*JANGAN SAMPAI MENJADI MUFLIS DAN MERUGI DI AKHIRAT BESOK KERANA SUKA MENGUMPAT DAN SUKA MEMBUKA AIB ORANG LAIN.*

Astaghfirullah Hal Adzim

[ N.A.M.N Poknik Adeq]
https://www.facebook.com/cerminsufi/
©®Cermin Sufi 2017

Dikongsikan oleh: Bro Hussin

No comments: